Sunday, December 7, 2008

Hari penyatuan Umat dan Munajat

PADANG Arafah yang sebelum ini sepi dan hanya menjadi kawasan ziarah atau persinggahan jemaah yang menunaikan umrah hari ini bertukar menjadi lautan manusia. Mereka datang dengan pelbagai kenderaan - bas, van, kereta atau teksi. Ada antara mereka menumpang di atas bumbung kenderaan bagi memasuki Arafah dan tidak kurang juga berjalan kaki.

Semuanya berpakaian serba putih - berbalut dua lembar kain putih (pakaian ihram). Tidak ada yang lebih daripada itu.

Waktu wukuf bermula dari gelincir matahari (Zuhur) pada hari ini 9 Zulhijah sehinggalah terbit fajar (Subuh) 10 Zulhijah.

Hari ini di Arafah umat Islam yang datang dari seluruh pelosok dunia semuanya sama - tanpa mengira pangkat, kedudukan, bangsa atau warna kulit. Mereka ‘meninggalkan’ sementara identiti sosial, budaya, politik, ekonomi, ideologi, suku bangsa, gender, warna kulit dan bahasa. Amat mengharukan kerana suasana di Arafah ini menggambarkan bahawa manusia jika berada di hadapan Allah adalah sama kedudukannya. Mungkin apa yang membezakan antara mereka hanyalah ketakwaan diri masing-masing.

Dianggarkan tiga juta umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di padang itu tahun ini untuk wukuf, iaitu kemuncak ibadah haji. Namira, sebuah masjid tersergam indah yang juga sepi sebelum ini kerana dibuka setahun sekali penuh sesak dengan jemaah untuk beribadah. Setiap saf tidak dibiarkan kosong. Ia melimpah sehingga ke luar kawasan masjid.

Padang Arafah yang terletak kira-kira 22 kilometer di bahagian timur kota Mekah mempunyai keluasan 10.4 kilometer persegi.

Di sinilah, wukuf perlu dilakukan kerana ia merupakan salah satu Rukun Haji. Tanpa menghadirkan diri di padang itu pada hari ini, maka seseorang jemaah itu tidak mendapat haji.


No comments:

Post a Comment

My Videos

Bahan Bantu Belajar Ustazahlina

Welcome

Followers